Pemain berusia 30 tahun itu gagal me­nyaingi kehebatan pemain Jepun, Kento Momota apabila ditunjukkan jalan keluar menerusi keputusan straight set 16-21, 5-21 hanya dalam tempoh 37 minit.

Pada aksi suku akhir kelmarin, pemain No. 39 dunia itu mengalami sedikit kecederaan kerana terjatuh, namun dapat meneruskan perlawanan sehingga dinobatkan sebagai pemenang.

“Saya berasa sangat sakit ketika jatuh dan hampir tidak boleh bergerak. Tetapi saya kuatkan semangat untuk mencipta kemenangan selepas mendapat sokongan padu daripada penonton.

“Pencapaian di sini merupakan yang terbaik sepanjang karier saya. Saya tetap berpuas hati dan berbangga dengan aksi di sini lebih-lebih lagi apabila turun sebagai pemain underdog,” katanya.

Pentas final hari ini menyaksikan pertembungan antara Momota dan Shi Yuqi dari China yang turut menempah tiket ke pusingan akhir setelah menumbangkan rakan senegara, Chen Long 21-11, 21-17.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melihat perkembangan bekas pemain badan itu sebagai sesuatu yang sihat.

Ini kerana katanya, ia mewujudkan persaingan antara pemain di bawah naungan BAM serta pemain profesional.

“Sudah tentu pemain di bawah BAM perlu berasa tercabar dengan pencapaian luar biasa Daren.

“Mereka perlu bekerja lebih keras untuk mencapai tahap sama atau lebih baik,” ujarnya.