Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi sandaran
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi sandaran Malaysia untuk mengetuai skuad negara ke Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula 20 Mei depan.

Pada majlis yang berlangsung di Bangkok malam tadi, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama Denmark, Rusia dan Algeria.

Undian tersebut dilihat memberikan laluan mudah buat Malaysia memandangkan mereka tidak bertembung de­ngan pasukan besar dari negara-negara Asia pada peringkat kumpulan.

Malah, ia merupakan peluang buat Malaysia untuk membalas kekalahan aksi separuh akhir mereka kepada Denmark pada edisi 2016 di Kunshan, China.

Sementara itu, gergasi badminton, China pula diundi dalam Kumpulan A bersama India, Perancis dan Australia, manakala juara 2014, Jepun pula berada dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Jerman dan Hong Kong.

Saingan paling sengit dilihat akan berlaku dalam Kumpulan B yang dihuni juara 13 kali, Indonesia bersama Korea Selatan, Kanada dan tuan rumah, Thailand.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat skuad Piala Uber kebangsaan apabila diundi berada dalam ‘kumpulan maut’ bersama juara bertahan China, Indonesia dan Perancis bagi Kumpulan D.

Jepun mengetuai Kumpulan A bersama India, Kanada dan Australia, manakala Thailand dalam Kumpulan B yang turut disertai Taiwan, Jerman dan Hong Kong.

Kumpulan C pula membariskan Korea Selatan, Denmark, Rusia dan Mauritius.