Perkara tersebut diakui oleh ketua jurulatih negara, John Beasley yang percaya anak-anak buahnya tidak boleh terlalu gembira dengan kejayaan me­raih masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Namun, Beasley berharap pencapaian tersebut mendorong jaguh-jaguh pecut negara yang diketuai oleh Mohd. Azizulhasni Awang untuk melakukan persiapan lebih rapi jika mahu kejayaan lebih gemilang di Sukan Olimpik.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan pasukan berbasikal trek pada temasya kali ini tetapi saya akui sedikit terkilan kerana gagal meraih pingat emas acara keirin.

“Bagaimanapun, kami telah berjaya mencipta kejutan menerusi acara pecut berpasukan dan individu yang saya anggap sebagai satu petanda positif dalam skuad kami.

“Ini kerana, sejak saya membimbing pasukan ini pada tahun 2006 kami tidak pernah meraih sebarang pingat menerusi acara pecut dan pencapaian ini boleh memberi motivasi tambahan buat mereka fokus dalam semua acara” katanya.

Selain Azizulhasni, Beasley turut gembira dengan aksi matang yang dipamerkan oleh dua pelumba muda negara, Muhd. Shah Firdaus Sahrom serta Muhd. Fadhil Mohd. Zonis.

“Saya berbangga dengan semua pelumba kami selain Shah Firdaus yang saya anggap berkemampuan untuk meraih pingat perak untuk acara pecut, tetapi nasib tidak menyebelahinya. Saya harap ini dapat memberi pengalaman berguna buatnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Beasley mengesahkan akan memberi anak-anak buahnya cuti selama seminggu apabila pulang ke ta­nah air nanti sejurus tamat Sukan Asia sebelum kembali menjalani latihan yang berpangkalan di Melbourne, Australia.

“Mereka akan diberi cuti rehat selama seminggu dan kemudian­nya akan terus diterbangkan ke Melbourne untuk menjalani latihan sebelum mengharungi beberapa siri kejohanan penting dalam proses melayakkan diri ke Sukan Olimpik nanti,” katanya.