Pengerusi TdIJ, Jaafar Hashim berkata, peringkat pertama daripada keseluruhan tiga peringkat yang melibatkan jarak 403 kilometer (km) menjadi cabaran disebabkan laluan terbabit melibatkan kawasan berbukit se­perti Bukit Banang dekat Batu Pahat.

“Secara ke­seluruhan, laluan sepanjang tiga peringkat tidaklah begitu mencabar, namun masih terdapat laluan yang boleh menyukarkan pelumba khususnya di kawasan Batu Pahat dan Simpang Renggam,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Johor Bharu semalam.

Beliau menambah, tiga pe­ringkat yang telah ditetapkan termasuklah di peringkat pertama dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat dengan jarak 122.9km

“Bagi peringkat kedua dari Muar Ke Yong Peng melibatkan jarak 172.4km manakala pe­ringkat ketiga dari Kluang ke Johor Bahru dengan jarak 107.7km hanya sedikit me­lalui kawasan berbukit,” katanya.

Beliau berkata, TdIJ yang julung kali diadakan menyaksikan penglibatan dari 23 pasukan antaranya 15 pasukan benua, satu pasukan kebangsaan, dua pasukan ne­geri dan lima kelab terkemuka Asia.

“Pasukan yang menyertai TdIJ terdiri daripada pasukan profesional yang terlibat dalam pelbagai perlumbaan peringkat antarabangsa termasuk kejohanan Le Tour de Langkawi.

“Kebanyakan pelumba merupakan dari pasukan yang terkemuka seperti pasukan dari Team Sapura Cycling, Brunei Continental dan Terengganu Inc. TSG Cycling Team.

“Turut memberi saingan ialah pasukan tempatan seperti pasukan kebangsaan Malaysia dan tuan rumah itu sendiri iaitu pa­sukan JDT Cycling Team,” ­katanya.