Pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, skuad kebangsaan terpaksa akur seri 0-0 dengan Thailand selepas tamat 90 minit perlawanan.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah mempertaruhkan kesebelasan utama yang sama ketika menewaskan Myanmar 2-0 minggu lalu apabila melakukan serangan luar biasa malah mendominasi sebahagian besar babak pertama.
Bagaimanapun, beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan kemas termasuk rembatan kencang penyerang lincah negara, Safawi Rasid seawal minit ketiga dan kelima hanya tersasar dari gawang lawan.

Safawi yang diiktiraf sebagai pemain paling bernilai Liga Malaysia (Liga M) 2018 meraih peluang terbaik pada minit ke-20 tetapi gagal menyudahkan hantaran Mohamadou Sumareh dengan tepat.

Peluang terbaik negara juga hadir pada minit ke-26 hasil serangan balas pantas tetapi percubaan Sumareh yang hanya berdepan dengan penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom juga tersasar.

Skuad Gajah Perang hanya meraih satu peluang keemasan menerusi percubaan Nurul Sriyankem tetapi rembatannya dihalang tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk memastikan kedua-dua pasukan terikat pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, momentum skuad negara agak longlai terutama selepas Sumareh dikeluarkan dan digantikan dengan Ahmad Hazwan Bakri.

Namun, Harimau Malaya masih mampu menghasilkan gerakan cantik pada minit ke-66 tetapi hantaran satu dua antara Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Abd. Radzak gagal menemui jaringan.

Keputusan berakhir dengan seri tanpa jaringan sekali gus menyukarkan misi Harimau Malaya yang akan bertandang ke Stadium Rajamangala, Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua Rabu depan.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara bertemu dengan Thailand adalah ketika tewas di pentas final edisi 2014 dengan keputusan agregat 3-4.

Skuad negara pernah menjuarai trofi Piala AFF Suzuki sekali iaitu pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dengan menewaskan Indonesia 3-2 di pentas final.