Pada saingan yang berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga itu, skuad muda Harimau Malaya terpaksa akur dengan kekuatan Jepun yang meraih gol tunggal hasil jari­ngan penalti Ayase Ueda di penghujung perlawanan.

Susulan itu, Kim Swee percaya barisan pemainnya telah mencurahkan aksi 100 peratus di tengah padang tetapi kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca utama mereka tersingkir daripada me­langkah ke pentas suku akhir.

“Saya tidak boleh meminta pemain memberikan aksi yang lebih baik kerana mereka telah mencurahkan tenaga mereka sepenuhnya di tengah padang sehingga membolehkan pasukan memberi kesukaran ke atas Jepun hingga ke minit-85.

“Namun, beberapa kesilapan yang dilakukan selain kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi punca pasukan tersingkir. Kita harus akui Jepun merupakan pasukan yang lebih baik meskipun mereka diwakili sepenuhnya oleh skuad B-21.

“Apa yang pasti, temasya kali ini membuktikan bahawa jurang skuad muda Malaysia dengan pasukan-pasukan kuat seperti Jepun dan Korea Selatan sudah tidak terlalu ketara,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Mengulas lanjut, Kim Swee turut enggan menyalahkan tonggak pertahanan, Dominic Tan selepas pemain Johor Darul Ta’zim itu menjatuhkan Ueda hingga menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Jepun.

“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pemain terma­suk Dominic yang berada dalam situasi untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi.

“Saya anggap dia antara pemain paling konsisten sepanjang temasya kali ini.

“Saya juga percaya dia akan jadikan perkara tersebut sebagai iktibar untuk beraksi lebih cemerlang kerana dia masih muda dan memiliki masa depan yang cerah,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia sebelum ini telah meletakkan sasaran mara ke sai­ngan suku akhir untuk menya­mai pencapaian yang diraih skuad B-23 pada kejohanan Konfede­rasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, China pada Januari lalu.