Ini merupakan kali pertama dua wartawan Meja Sukan Kosmo! itu diberi peluang membuat liputan penganjuran temasya sukan yang dianggap terbesar selepas Sukan Olimpik.

“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di Jakarta dan berasa terkejut de­ngan layanan mesra serta persiapan rapi pihak penganjur dalam memudahkan proses pendaftaran kami khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

“Saya dan rakan setugas, Muhd. Ardie janjikan liputan terbaik buat pembaca Kosmo! di tanah air,” kata Riduan.

Sementara itu, Ardie berharap dapat berikan liputan terbaik buat rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakang kontinjen kebangsaan yang dihantar bersaing di Jakarta serta Palembang kali ini.

“Selepas Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tum­puan kontinjen negara akan diberikan pada temasya Sukan Asia ini. Saya berharap sasaran tujuh emas yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjaya dicapai,” katanya.

Sebanyak 45 negara di rantau Asia mengesahkan penyertaannya dengan kontinjen Malaysia menghantar seramai 426 atlet yang akan bertanding di dua bandar utama temasya ini iaitu Jakarta dan Palembang.

Apabila Ardie dan Riduan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mereka mendapati persiapan rapi Indonesia dalam memberi la­yanan terbaik kepada barisan tetamu yang hadir.

Diberi layanan mesra sejurus mendarat oleh puluhan sukarelawan Sukan Asia 2018 sehingga mendapatkan perkhidmatan teksi di luar lapangan terbang, tanggungjawab sosial mereka wajar dipuji.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Indonesia me­nganjurkan temasya bertaraf Sukan Asia selepas kali terakhir pada edisi 1962.

Apa yang pasti, Kosmo! menjangkakan sambutan hangat daripada penduduk tempatan dan luar negara khususnya pada acara pembukaan rasmi di ve­nue utama, Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Sabtu ini.

Lebih menarik, republik Sang Garuda akan me­nyambut sambutan Hari Kemerdekaan ke-73 sehari sebelum upacara pembukaan berlangsung dan sudah tentu mereka akan berikan pengalaman terbaik khususnya buat lebih 200 juta rakyatnya.