Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, The Red Warriors (TRW) terpaksa melupakan khidmat Ghaddar selepas pemain itu mengalami kecede­raan yang memaksa dia berehat panjang.

“Bagi makluman semua, pe­namatan kontrak antara KAFA dengan Ghaddar dibuat secara persetujuan bersama. Kedua-dua pihak mencapai kata sepakat berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada Kos­mo! di Kota Bharu semalam.

Sebelum ini, KAFA membuat kejutan apabila membawa masuk Ghaddar sebelum pintu pendaftaran pemain ditutup pada 13 Februari lalu.
Ghaddar dibawa masuk bagi menggantikan Magaro Lima Gomis yang mengalami kecede­raan.

Sejak menyertai Kelantan tiga bulan lalu, Ghaddar hanya meledak tiga gol sepanjang bersama TRW dalam aksi Liga Super dan Piala FA.

Ketika ditanya mengenai pengganti Ghaddar, Bibi Ramjani memberitahu, KAFA akan merujuk perkara tersebut kepada Malaysia Football League (MFL).

Katanya, sekiranya dibenar membawa masuk pemain import baharu badan induk itu sedia berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata, Kelantan sudah mengikat bekas pemain Kuantan FA, Ahmad Haziq Ahmad Puad untuk tempoh kontrak selama enam bulan bersama TRW.