Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemenang pingat emas ditawarkan insentif tambahan RM3,000, pingat perak (RM2,000) dan pingat gangsa (RM1,000).

Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi motivasi, mana-mana atlet negeri yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Sukma tersebut juga bakal menerima ganjaran pakej mengerjakan umrah bagi beragama Islam manakala bagi bukan beragama Islam pula akan menerima insentif RM5,000.

"Kita serius untuk mencapai misi kembali merampas kejuaraan keseluruhan pada Sukma Perak kali ini seperti yang pernah dicapai pada tahun 2008 hingga 2012.

"Insentif sebelum ini iaitu ganjaran RM300 bagi pemenang pingat emas, perak (RM200) dan gangsa (RM100) masih dikekalkan," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bendera kepada kontinjenTerengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.

Wan Sukairi berkata, kontinjen Terengganu menyasar 53 pingat emas, 32 pingat perak dan 50 pingat gangsa sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan Sukma Perak berkenaan. - K! ONLINE