The Reds bakal berkunjung ke West Ham United awal pagi ini dalam usaha melebarkan jurang perbezaan mata dengan pencabar terdekat, Manchester City yang berpeluang merapatkan kedudukan kepada dua mata jika mereka menang ke atas Arsenal.

Klopp yang menjulang dua gelaran Bundesliga bersama Borussia Dortmund menjelaskan bahawa dia tidak pernah berasa tertekan apabila pasukan yang dibimbingnya semakin hampir memenangi gelaran, sebaliknya menegaskan situasi itu akan menyebabkan dia menjadi lebih fokus terhadap pemainnya seperti yang dihadapi ketika ini bersama Liverpool.

“Saya bukan seorang yang mudah berasa gementar, sama seperti ketika saya memenangi gelaran pertama bersama Dortmund. Itulah apa yang saya rasa sekarang.

“Pengalaman mengajar saya bahawa apa yang saya lakukan suatu ketika dahulu telah berhasil, jadi saya tidak akan mengubahnya.

“Apa yang tahu ialah melakukan perkara yang betul sekerap mungkin, kekal fokus dan tidak fikirkan tentang perkara lain di sekeliling kita.

“Kalau kita cukup kuat, kejayaan akan terhasil. Jika tidak kuat, ia tidak akan berlaku. Itulah caranya untuk menghadapi situasi genting dalam bola sepak,” jelas Klopp.

Kali terakhir Liverpool memenangi gelaran EPL ialah pada tahun 1990 dan Klopp mengakui bahawa penyokong mereka kini amat terdesak untuk melihat The Reds menggenggam trofi tersebut kali ini.

“Sudah tentu ada masanya kami berasa gementar, tetapi kami tidak biarkan ia menguasai diri seperti tahun lalu.

“Saya faham penyokong amat ter­desak mahukan kejuaraan dan saya beri jaminan bahawa kami akan cuba sedaya upaya untuk melakukannya,” katanya lagi. – Agensi