Liverpool yang mengharungi aksi pramusim tidak menentu tekad untuk membawa pulang trofi Perisai Komuniti ke Anfield apabila dijadualkan menentang juara Liga Perdana England (EPL), Manchester City di Stadium Wembley Ahad ini.

Meskipun ramai menganggap saingan Perisai Komuniti sebagai aksi pembuka tirai, namun Klopp menegaskan, perlawanan itu akan dianggap sebagai perlawanan akhir dan beliau sedia untuk memenangi trofi kedua bersama Liverpool.

“Bagi saya, aksi Perisai Komuniti juga boleh dianggap sebagai perlawanan akhir. Ini kali pertama saya lihat orang ramai tidak berikan fokus terhadap perlawanan seperti ini dan hanya menganggap ia sebagai aksi pembuka tirai.

“Saya tahu ia tidak beri kesan terhadap kedudukan kami bagi saingan musim baharu nanti tetapi ia tetap satu perlawanan penting. Walaupun Liverpool terpaksa beraksi dengan lapan pemain, saya tetap mahu memenanginya,” kata Klopp.

Liverpool yang juga juara Eropah dilihat berdepan cabaran sukar pada perlawanan itu nanti memandangkan pemain-pemain utama seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Alisson dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya manakala Sadio Mane masih bercuti.

Selain itu, prestasi The Reds juga dilihat berada dalam keadaan terumbang-ambing apabila mengharungi aksi pramusim yang agak hambar apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir. – Agensi