Senarai itu diumumkan oleh FIFA awal pagi semalam selepas ketiga-tiga pengurus berkenaan berjaya membawa kelab masing-masing mencatat pencapaian cemerlang pada musim lepas.

Pengurus The Reds, Klopp turut tersenarai sebagai tiga calon pilihan bagi anugerah tersebut impak kejayaan membawa kelab dari Merseyside itu menjulang gelaran Liga Juara-Juara dengan menewaskan Spurs 2-0 pada aksi final di Madrid.

Pertemuan itu juga merupakan pencapaian terbaik buat pengurus Spurs, Pochettino kerana berjaya membimbing kelab dari London itu beraksi di pentas final Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut.

Sementara itu, pengurus dari Sepanyol, Guardiola pula terpilih dalam senarai tahun ini selepas menghadiahkan City kejuaraan Liga Perdana England buat kali kedua berturut-turut dengan mengatasi Liverpool satu mata pada musim lalu.

Sebelum ini, anugerah Jurulatih Terbaik bagi musim lalu dimenangi oleh Didier Deschamps ekoran kejayaannya membawa Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 di Rusia.

Bagi anugerah Pemain Terbaik Lelaki pula, pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk turut disenaraikan bersama penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi pada tahun ini.

Ketiga-tiga pemain tersebut dipilih berdasarkan prestasi cemerlang mereka bersama kelab masing-masing dan memiliki peluang sama rata untuk membawa pulang anugerah yang dimenangi oleh perancang Real Madrid, Luka Modric tahun lalu.

Selain itu, Van Dijk, Ronaldo dan Messi turut diramal bersaing sesama sendiri sekali lagi bagi anugerah Balon d’Or yang akan diumumkan pada hujung tahun ini. – Agensi