Bekas jurulatih Borussia Dortmund itu mencabar barisan pemainnya agar menunjukkan sikap ‘tamak’ pada perlawanan tersebut bagi memastikan mereka membawa pulang trofi berkenaan.

Di bawah kendalian Klopp, The Reds dilihat kembali ke era kegemilangan apabila memenangi saingan Liga Juara-Juara serta muncul naib juara Liga Perdana England (EPL) musim lalu.

“Kami perlu terus tunjukkan sikap tamak kerana ia sangat penting untuk sebuah pasukan yang memburu kejua­raan. Saya tahu semua pemain menerima pujian demi pujian selepas memenangi Liga Juara-Juara musim lalu dan ia sesuatu yang bagus.

“Bagaimanapun, ia mungkin membuatkan anda terleka, jadi saya tidak mahu ia terjadi.

“Kami perlu tunjukkan keinginan sama seperti ketika memenangi Liga Juara-Juara sebelum ini,” kata Klopp.

Sementara itu, beliau juga mengesahkan penjaga gol utama, Alisson mungkin diketepikan sehingga hujung bulan depan selepas mengalami kece­deraan betis ketika bertemu Norwich City Sabtu lalu.

“Dia (Alisson) mengalami kece­deraan betis dan mungkin memerlukan masa yang agak panjang untuk pulih. Saya tidak boleh pastikan bila dia akan kembali, namun apa yang pasti dia tidak akan beraksi pada perlawanan itu nanti,” ujarnya. 
– Agensi