Pada aksi Kumpulan G saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu mencipta kejutan apabila mendahului 1-0 menerusi penyerang Syafiq Ahmad seawal minit pertama.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila UAE mula mempamerkan kebangkitan apabila penyerangnya, Ali Ahmed Mabkhout meledak dua gol, sekali gus memastikan skuad kendalian Bert Van Marwijk itu mencuri tiga mata penuh.

Menurut Cheng Hoe, barisan pemain negara telah menunjukkan aksi yang bertenaga pada awal permai­nan.

Namun, katanya, beberapa kesilapan yang dilakukan di atas padang selain kegagalan mengekalkan tempo permai­nan menyebabkan Harimau Malaya akhirnya akur dengan kehebatan pasukan No. 65 dunia itu.

“Secara keseluruhannya, barisan pemain kita telah me­nunjukkan satu persembahan yang hebat khususnya pada awal separuh masa pertama, tetapi pemain sepatutnya memanfaatkan semua peluang terhidang dengan menyumbat lebih banyak gol.

“Namun, mereka gagal berbuat demikian kerana pergerakan di jentera serangan semakin lemah pada penghujung babak pertama sehingga memberi peluang kepada lawan meledak gol penyamaan.

“Pada babak kedua pula selepas ketinggalan, barulah pemain kembali melakukan asakan, tetapi segalanya sudah terlewat. UAE telah membuktikan kualiti sebenar mereka kerana berjaya mengubah dua peluang terbaik yang dimiliki mereka kepada jaringan,” kata Cheng Hoe selepas perlawanan malam kelmarin.

Sementara itu, pengendali UAE, Marwijk pula mengakui telah melakukan kesilapan taktikal pada awal perlawanan selain terkejut dengan aksi agresif yang dipamerkan oleh Malaysia sebelum mengubah strateginya pada penghujung babak pertama.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan pada babak pertama kerana saya melakukan kesilapan taktikal, tetapi apabila masuk separuh masa kedua, kami bermain dengan cukup baik. Mungkin pasukan tuan rumah masih lagi kepenatan daripada perlawanan dan perjalanan sebelum ini (menentang Indonesia).

“Cuma, pujian harus diberikan kepada Malaysia kerana dilihat kembali bersemangat dan memberi tekanan pada 15 minit terakhir perlawanan. Bagaimanapun, pasukan kami telah bekerja keras untuk mencuri tiga mata penuh di sini,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadual bertemu dengan Vietnam pada aksi ketiga di Hanoi pada 10 Oktober depan manakala UAE pula akan me­layan kunjungan Indonesia.