Meskipun bermula agak perlahan menerusi kekalahan pada set pertama, namun beregu yang berada pada ranking ke-38 dunia itu menunjukkan semangat juang tinggi apabila melakar kemenangan dalam dua set berikutnya.

Pei Jing mengakui dia langsung tidak menjangkakan kemenangan tersebut memandangkan mereka gagal mengeluarkan permainan sebenar pada set pertama sehingga menyebabkan mereka tewas.

"Saya tidak tahu nak cakap apa kerana langsung tidak terfikir untuk memenangi perlawanan ini kerana sebelum permainan bermula, saya rasa sedikit tertekan selain pasukan lawan seolah-olah berjaya mengawal keseluruhan permainan.

"Selepas perlawanan memasuki set kedua, saya cuma ubah sedikit corak permainan dengan melakukan servis ke bahagian belakang. Saya akui, perubahan corak permainan berjaya menyebabkan rentak permainan mereka terganggu," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Mengulas aksi separuh akhir menentang beregu No.2 dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping esok, Pei Jing berharap mereka mampu menampilkan aksi terbaik selain tuah terus berada bersama mereka bagi melayakkan diri ke pentas final.

"Aksi bertemu wakil China esok sudah pasti sukar kerana kami belum pernah tewaskan mereka dalam dua pertemuan sebelum ini. Saya harap tuah terus ada bersama kami serta sedia untuk tampilkan aksi terbaik menentang mereka," ujarnya. - K! ONLINE