Meskipun gagal melangkah ke perlawanan akhir, prestasi Kian Meng-Pei Jing wajar dipuji apabila menjadi satu-satunya wakil negara yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas rakan sepasukan lain kecundang lebih awal.

Pei Jing mengakui, kekalahan tersebut berjaya membantu mereka mengesan beberapa kelemahan yang ada dalam corak permainan mereka jika dibandingkan dengan beregu yang berada pada ranking No. 2 dunia itu.

“Memang kami bersemangat untuk bermain hari ini (semalam) tetapi ternyata mereka memiliki kelebihan pada perlawanan itu. Walaupun kalah tetapi kami tetap puas hati kerana mampu me-langkah ke pentas separuh akhir.

“Harus diakui kami perlu berusaha lebih keras sekiranya mahu merapatkan jurang permainan dengan mereka. Tidak hairanlah jika mereka berada dalam kelompok tiga beregu terbaik dunia pada ketika ini,” kata Pei Jing selepas tamat perlawanan semalam.

Dalam pada itu, dia juga mengakui berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan pada kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 itu selepas berdepan kemerosotan prestasi ketika pada saingan musim lalu.

“Harapan saya adalah agar kami mampu menampilkan aksi seperti ini dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini. Kami sedar setiap pemain ada turun naik tetapi kami sudah memiliki keyakinan untuk bermain lebih baik,” tambahnya.