Pada aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Kian Meng-Pei Jing yang juga beregu No. 38 dunia tersentak seketika apabila tewas pada set pertama sebelum bangkit kembali memperkemaskan permainan pada dua set berikutnya.

Pei Jing mengakui, meskipun melayakkan diri ke peringkat suku akhir, namun dia masih belum berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan pada perlawanan tersebut kerana banyak melakukan kesilapan mudah.

“Saya akui hari ini (semalam) bukan aksi terbaik saya tetapi saya gembira kerana Kian Meng banyak membantu serta memberi semangat kepada saya untuk terus berjuang sehingga saya mendapat kepercayaan baharu dan lebih bersemangat.

“Apabila perlawanan memasuki set kedua, keyakinan saya semakin tinggi, sekali gus membuatkan kami sukar mengaku kalah. Saya gembira kerana kami berjaya memastikan tempat ke suku akhir,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada masa sama, Kian Meng berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pada perlawanan semalam, lebih-lebih lagi berjaya menunjukkan peningkatan berbanding dalam beberapa kejohanan terdahulu.

“Kemahuan tinggi membuatkan kami berkobar-kobar memburu kemenangan. Mungkin ini bukan aksi terbaik kami tetapi saya akui ianya lebih baik jika dibandingkan dengan prestasi yang kami tampilkan dalam kejohanan sebelum ini,” ujarnya.

Selain Kian Meng-Pei Jing, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 21-13, 21-14.

Hasrat bintang perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk melangkah ke suku akhir pula lebur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong selepas tewas 16-21, 21-12, 10-21.

Situasi sama turut menimpa beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas akur dengan kekalahan 21-10, 13-21, 9-21 kepada beregu Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.