Kenyataan tersebut dibuat sebagai maklum balas kepada tindakan berat sebelah dua badan berkenaan yang dikhabarkan akan mengharamkan rakan sepasukannya, Zubaira Tukhugov daripada sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Atlet berusia 30 tahun tersebut turut mengancam akan meninggalkan UFC jika syarikat kendalian Dana White itu nekad tidak mengubah keputusan itu.

“Kenapa UFC tidak menghukum individu (McGregor) yang menyerang bas (insiden di Brooklyn April lalu) dan hampir membunuh beberapa orang? Kenapa berdiam diri apabila negara, agama dan keluarga saya dihina?

“Kenapa rakan sepasukan saya sahaja yang dihukum sedangkan kedua-dua kem bergaduh? Tak perlu hukum Zubaira tetapi hukumlah saya. Jika UFC pecat Zubaira, UFC juga akan kehilangan saya.

“Bangsa Rusia tidak akan meninggalkan saudara mereka dan akan berjuang sehingga ke penghujung.

“Kamu boleh simpan duit saya. Bagi saya, maruah lebih penting,” katanya menerusi laman Instagram.

Sebagai rekod, Zubaira dijadualkan beraksi menentang Artem Lobov di UFC Fight Night 138 di Kanada pada 27 Oktober ini.

Bagaimanapun, UFC telah mengeluarkan kenyataan bahawa pertarungan itu dibatalkan dan Lobov akan diberi lawan baharu.

Lobov adalah rakan sepasukan McGregor yang menjadi punca di sebalik ‘drama’ perang ketika aksi UFC 229 di Las Vegas, Ahad lalu. – Agensi