Khabib, 30, berjaya menewaskan lawannya dari Amerika Syarikat (AS) itu menerusi teknik rear naked choke ketika mengunci leher Poirier di pusingan ketiga.

Hasil kemenangan itu, atlet seni bela diri dari Rusia tersebut berjaya mempertahankan gelaran juara dunia bagi kategori lightweight UFC dengan rekod tanpa kalah dalam 28 perlawanan.

“Saya ingin berterima kasih kepada ayah saya, jurulatih, saudara saya, rakan-rakan serta para penyokong saya. Syukur kepada Allah kerana kemenangan ini menjadi milik saya,” kata Khabib sejurus tamat perlawanan.

Khabib sebelum ini mencipta kontroversi apabila menumbangkan jaguh dari Ireland, Conor McGregor pada perlawanan UFC 229 di Las Vegas tahun lalu.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut tidak berakhir dengan baik selepas dia dikatakan menyerang pasukan McGregor di luar gelanggang.

Akibat insiden itu, Khabib dikenakan hukuman larangan beraksi selama sembilan bulan oleh Suruhanjaya Atlet Nevada (NAC).