Asmirul menegaskan, biarpun KFA dikritik oleh Tunku Ismail namun pihaknya tetap tidak berganjak dan tegas dalam isu perpindahan penye­rang muda Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut beliau, badan induk bola sepak Kedah sentiasa terbuka ke arah lebih profesional dan isu itu merupakan kes pertama di Malaysia yang akan dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar.

“Pihak kami menjunjung kasih terhadap pandangan Tunku Ismail malah KFA juga menghormati setiap kritikan baginda untuk menjadi lebih profesional.

“JDT ada hak mengatakan KFA tidak faham peraturan mengenai perpindahan serta kontrak pemain kerana mereka berpendapat sudah berada di pihak yang benar.

“Tetapi, mereka (JDT) harus ingat, kami juga berasa yakin berada di landasan betul dan itu membuatkan KFA mahu membawa perkara ini ke muka pe­ngadilan iaitu FIFA dan CAS.

“Pastinya, ia akan terus diingati apabila kes ini pertama kali berlaku dalam kancah bola sepak Malaysia apabila ia diheret ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Akhyar akhir­nya menyertai pa­sukan JDT apabila Pe­ngarah Sukannya, Martin Prest mengesahkan skuad Harimau Selatan telah mengikat kontrak selama empat tahun dengan pemain itu ming­gu lalu.

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar sebanyak RM210,000 bagi mene­bus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya harus membayar RM75,000 kepada KFA sebagai yuran pembangunan bakat.

Bagaimanapun, Prest mengesahkan JDT sedia membayar sebanyak RM100,000 untuk yuran pembangunan bakat itu sebagai tanda hormat kepada pasukan Kedah meskipun mereka sepatutnya hanya perlu memberikan RM75,000 sebagai pampasan.