Klausa tersebut turut mampu mengelak sekiranya berlaku sebarang tapping up oleh mana-mana pasukan yang cuba menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan pemain yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan lain.

Peguam Undang-Undang Sukan dari Firma Fahmi Zhafri Ashraf & Co, Zhafri Aminurashid berkata, sejak awal lagi KFA perlu peka terhadap perkembangan Akhyar jika mereka enggan berdepan situasi yang sedang berlaku sekarang.

“KFA seharusnya meletakkan klausa pelepasan pemain dalam kontrak Akhyar lebih awal lagi untuk mengelakkan berlakunya masalah ini setelah menyedari perkembangan bintang Harimau Malaya tersebut semakin meningkat.

“Ketiadaan klausa itu sebenarnya membolehkan berlakunya tapping up terhadap pemain bola sepak dan KFA perlu tahu memandangkan perkara itu (klausa perpindahan pemain) telah diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2017.

“Dalam hal ini, KFA sebagai ahli gabungan FAM perlu menyelesaikan masalah itu dengan semangat kekeluargaan bersama badan induk bola sepak negara demi memastikan pemain tidak menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, bintang muda negara itu akhirnya menyertai pasukan JDT seperti dijangka apabila Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan skuad Harimau Selatan telah mengikat kontrak selama empat tahun dengan pemain itu Sabtu lalu.

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar sebanyak RM210,000 bagi menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain, manakala pasukan baharunya harus membayar RM75,000 kepada KFA sebagai yuran pembangunan bakat.

Bagaimanapun, Prest mengesahkan JDT sedia membayar RM100,000 yuran pemba­ngunan bakat itu sebagai tanda hormat kepada pasukan Kedah meskipun mereka sepatutnya hanya perlu memberikan RM75,000 sebagai pampasan kepada KFA.

Zhafri menambah, dalam bola sepak moden, peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara jelas menegah sebarang jenis bentuk penghambaan pemain dan mereka berhak menamatkan kontrak lebih awal dengan syarat perlu membayar baki kontrak untuk dilepaskan oleh pasukan semasa.

Justeru katanya, KFA sebenarnya beruntung apabila pengiraan ganti rugi yang dilakukan FAM memberikan banyak keuntungan kepada bekas pasukan Akhyar.

“Pengiraan ganti rugi yang dibuat FAM itu juga adalah lebih banyak daripada jumlah yang sepatutnya diterima oleh KFA jika merujuk Artikel Annexe 4 & 5, Peraturan Status & Perpindahan Pemain.

“Jumlah ganti rugi tersebut juga boleh mengurangkan berlakunya masalah tapping up pemain yang masih berada dalam kontrak pasukan.

“FAM mengambil langkah selamat untuk memberikan pampasan latihan kepada KFA berbanding keperluan untuk membuktikan wujudnya tapping up terhadap pemain ke­rana tindakan itu sukar untuk dibuktikan,” kata Zhafri.