Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris (gambar) berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan segala urusan dan proses berkaitan dalam tempoh antara seminggu hingga dua minggu lagi sebelum kes tersebut dapat difailkan ke CAS.

“Peguam yang dilantik sedang meneliti kes itu dan kita akan cuba selesaikan minggu ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di Alor Setar semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah meng­iringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melawat keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di kampung tersebut.

Mengulas lanjut, Asmirul berkata, sebarang pintu rundingan berhubung kes ber­kenaan juga telah ditutup.

“Saya dimaklumkan bahawa Liga Bola Sepak Malaysia ada panggil untuk bincang namun jika ia berkaitan isu Akhyar, kita tidak mahu adakan rundi­ngan lagi.

“Bagaimanapun, KFA sebagai sebuah badan induk bola sepak negeri yang profesional akan sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai liga, teknikal dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah Asmirul, kebanyakan persatuan bola sepak negeri dilihat menyokong tindakan KFA yang bertegas untuk membawa perkara itu ke peringkat tertinggi.

“Saya dihubungi penyokong kuat pasukan Perak yang memaklumkan telah menyumbang RM1,000 kepada tabung CAS KFA,” katanya.