WEE KIONG (depan) dan V Shem kecewa selepas tumpas di tangan pasangan
WEE KIONG (depan) dan V Shem kecewa selepas tumpas di tangan pasangan Indonesia pada aksifinal Malaysia Masters di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam

Pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, mereka tewas 21-14, 22-24, 13-21 kepada beregu No. 3 Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam tempoh 58 minit.

Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan bekas beregu No. 1 dunia tersebut terus kempunan merangkul kejuaraan sejak kali terakhir melakukannya pada Siri Super Final Dubai 2016.

Kata Wee Kiong, mereka sudah menampilkan aksi terbaik pada aksi final semalam, namun beberapa kesilapan mudah pada set ke­dua memakan diri meskipun mendahului 18-13.

“Bagi saya, permainan hari ini (semalam) bagus tetapi kesilapan mudah yang dilakukan pada set kedua memberi ruang buat pasukan lawan mengutip mata demi mata, sekali gus memenangi perlawanan.

“Walaupun baru kembali digandingkan tetapi kami tidak mahu jadikan ia sebagai alasan. Sebenarnya, mereka ada ubah strategi pada set kedua sehingga menyebabkan kami bergelut,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Walaupun tewas, namun kemampuan mereka me­langkah ke perlawanan akhir­ wajar dipuji memandang­kan baru sebulan kembali bergandingan selepas dipisahkan buat seketika.

Sementara itu, V Shem menegaskan, mereka perlu memperbaiki segala kelemahan menjelang Indonesia Masters yang akan bermula esok hingga Ahad depan.

“Setakat dua kejohanan yang disertai, saya akui ­prestasi kami semakin meningkat selain keputusan yang lebih baik. Bagaimanapun, kami perlu baiki kelemahan-kelemahan yang ada sebelum ke Indonesia Masters,” ujar V Shem.