Sebagai rekod, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas meraih dua kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan juara bertahan, Korea Selatan 2-0 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung minggu lalu.

Lebih menarik, apa sahaja keputusan pada aksi bertemu pasukan Asia Barat itu, ia tidak akan menjejaskan status skuad muda Harimau Malaya sebagai juara kumpulan.

Susulan itu, Kim Swee me­ngakui bercadang untuk me­lakukan rombakan dalam ke­sebelasan utamanya tetapi itu bukan bermakna pasukannya memandang rendah terhadap keupayaan Bahrain yang memiliki kelebihan tersendiri.

“Saya tidak menafikan bakal melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Bahrain tetapi saya percaya pemain yang diberi peluang nanti berupaya untuk meraih keputusan terbaik.

“Kami tidak boleh terus dibuai dengan kejayaan meraih kemenangan yang lepas kerana cabaran bakal diberikan oleh Bahrain sudah tentu berbeza dan saya percaya meraih tiga mata penuh dapat memberi motivasi lebih baik menjelang pu­singan kedua nanti,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee juga enggan terburu-buru memikirkan siapa lawan mereka pada peringkat 16 pasukan terbaik kerana apa yang penting adalah kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan.

“Kita sudah beraksi dua perlawanan dalam tempoh dua hari dan saya mahu pemain-pemain berada pada tahap terbaik sebelum boleh memikirkan siapa lawan pada aksi kalah mati nanti,” katanya.

Skuad bola sepak negara dile­takkan sasaran untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir pada temasya sukan terbesar Asia itu.