Ketua Jurulatih Melaka United, E. Elavarasan berkata, tiga jaringan penyamaan oleh skuad The Red ­Ants dalam tempoh lima minit sebelum tamat perlawanan itu satu kerugian buat pasukan bimbingannya untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B.

Beliau berkata, pasukan lawan juga lebih bernasib baik kerana kemampuan mereka menyerang dan menghasilkan gol sekali gus membolehkan mereka berkongsi mata ketika perlawanan seakan-akan berpihak kepada tuan rumah.

“Sedikit kelekaan dalam tempoh lima minit ketika para pemain terlalu fokus untuk bertahan selain dua pemain gantian dimasukkan dan menyebabkan bahagian tengah kosong sehingga kita terlepas untuk mendapat tiga mata.

“Ini memberi kita pengajaran dan memperbaiki kesilapan pada perlawanan akan datang selain lebih fokus bagi mencari kemenangan untuk berada di kedudukan lebih baik.

“Secara keseluruhannya semua pemain mempamerkan kesungguhan dan permainan yang baik tetapi nasib kurang menyebelahi kami,” katanya.

Pada perlawanan itu Melaka United membuka jaringan pada minit kelapan menerusi Lee Chang Hoon apabila menyudahkan hantaran Syahrul Azwari.

Penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat turut cemerlang menafikan sekurang-kurangnya tujuh percubaan tepat PKNS FC pada  babak pertama dan keputusan itu kekal hingga rehat perlawanan.

Gol kedua skuad Sang Kancil dihasilkan oleh Ifedayo Olusegun pada minit ke-72, sebelum Chang Hoon menambah gol ketiga untuk Melaka United.

Bagaimanapun lima minit sebelum perlawanan tamat, serangan berterusan PKNS FC berjaya membuahkan hasil apabila Romel Morales menewaskan Khairul Fahmi sebelum Bruno Oliveira menambah jaringan di minit ke-88 dan gol penyamaan diraih Rafael Ramazotti pada minit ke-90.