Sebaliknya, menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, nilai imbuhan tersebut akan dimaklumkan terus kepada skuad Helang Merah.

"Imbuhan ada, namun jumlahnya belum dimuktamadkan yang mana ia masih dalam proses perbincangan dalaman.

"Kali ini kita tidak umumkan (nilai imbuhan) dan hanya akan berurusan terus dengan pasukan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengumumkan cuti khas jika Kedah menjuarai Piala FA kali ini, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, perbincangan akan dilakukan berhubung perkara itu.

"Tengok dulu (cuti), sebab banyak dah cuti dan kita terima banyak aduan daripada syarikat swasta yang terpaksa keluarkan kos yang lebih kalau pekerja nak kerja," ujarnya.

Mengulas mengenai keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar, Mukhriz menyambut baik dan mengalu-alukan langkah itu.

"Saya sambut baik keputusan FAM untuk meletakkan pengadil luar yang difahamkan dari Jepun. 

"Bukan kita tidak percaya pengadil tempatan tetapi saya lihat ia sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan tahap profesionalisme kita," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, kata beliau, sebanyak 20,000 bendera berwarna hijau dan kuning akan diedarkan kepada semua penyokong pada hari perlawanan itu nanti.

"Semua penyokong akan menyanyikan lagu keramat skuad Hijau Kuning iaitu Biar Jasa Jadi Kenangan," katanya. - K! ONLINE