Larian yang menjadikan venue Dataran Merdeka seba­gai garisan permulaan dan penamat menyaksikan pelari dari negara itu menguasai lima tempat ter­atas bagi kategori lelaki, manakala dua bagi kategori wanita.

Bagi peserta lelaki, Cosmas Matolo Muteti, 31, mencatat masa 2 jam 13 minit dan 29 saat (s), mengatasi pencabar utama yang juga rakan senegaranya, Kiprop Tonui yang ketinggalan 10s di belakangnya, Tempat ketiga menjadi milik Kennedy Kiproo Lilan dengan catatan masa 2:15.02s.

Muteti teruja selepas segala usaha yang dilakukannya se­­belum menyertai larian tersebut berhasil serta menjadikan ia sebagai ‘batu loncatan’ kepadanya untuk menyertai kejohanan akan datang.

“Sebelum datang ke sini, saya mempunyai hasrat yang tinggi untuk mengulangi kejayaan tahun lalu selepas memenangi SCKLM bagi siri kesembilan penganjuran.

“Saya giat menjalani latihan dalam tempoh tiga bulan serta mendisiplinkan diri untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada acara SCKLM tahun ini.

“Setiap hari saya akan berlatih dengan membuat larian sejauh 20km pada waktu pagi dan 20km pada sebelah petang untuk mengekalkan tahap kecerdasan ketika menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, latihan bagi membuat pecutan turut diberi perhatian kerana ia sangat membantu saya terutama untuk meninggalkan pelari lain pada peringkat terakhir sesebuah pertandingan,” katanya.

Kejayaan itu adalah kemena­ngan ketiga buat Muteti bagi kejohanan di Malaysia selepas kali terakhir memenangi Maraton Perlis pada 30 April tahun lalu.

Kemenangan tersebut me­nyaksikan Muteti meraih AS$17,500 (RM67,725), manakala Tonui membawa pulang AS$7,500 (RM29,025). Lilan menerima AS$5,000 (RM19,350) bagi kategori wanita.

Dalam pada itu, penganjuran SCKLM 2018 yang melengkapkan edisi ke-10 tahun ini sekali lagi menjadi acara paling ikonik di Malaysia selepas menerima lebih 38,000 penyertaan untuk semua kategori yang dipertan­dingkan dalam tempoh dua hari tersebut.

Sementara itu, dalam kategori wanita, pelari Kenya, Elizaberth Chepkanan Rumokol, 34, melintasi garisan penamat dengan catatan 2:34.33s meninggalkan Nancy Joan Rotich yang juga rakan senegaranya di tempat ke­dua apabila menamatkan larian dengan masa 2:53.40s.

Rumokol sangat terharu de­ngan pencapaian tersebut, sekali gus mengulangi kejayaan sama yang diraih pada edisi lalu.

“Keputusan hari ini (semalam) sangat bermakna buat saya serta memberikan motivasi untuk meningkatkan lagi prestasi pada masa akan datang.

“Saya sangat terkejut dengan catatan masa ini dan ternyata usaha selama ini terhasil walaupun terdapat beberapa pencabar lain yang juga tidak kurang hebat,” ujarnya.

Bagi pelari terbaik maraton penuh Malaysia, Muhaizar Mohamad pula melengkapkan kejuaraan empat tahun berturut-turut SCKLM selepas pelari kelahiran Kedah tersebut mencatatkan masa 2:33.24s.

Bagi kategori wanita Malaysia pula, kejuaraan menjadi milik Loh Choi Fern dengan catatan masa 3:14.04s dan kedua-dua peserta negara itu masing-ma­sing meraih hadiah kemenangan RM20,000 beserta medal daripada Standard Chartered.