Semalam, skuad kendalian Chiew Chun Yong buka langkah kanan dalam aksi pertama Kumpulan A Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 Taiwan menerusi kebangkitan lewat apabila menewaskan Vietnam 2-1.

Jurulatih Vietnam, Miguel Rodrigo menegaskan, persembahan cemerlang Hadee adalah elemen terbesar kemenangan Malaysia.

Bagaimanapun, Hadee, 30, mendedahkan, kejayaan skuad negara itu hadir daripada semangat berpasukan yang sentiasa tidak putus semangat untuk mempamerkan kebangkitan sehingga akhir perlawanan.

“Bagi saya kemenangan hari ini (semalam) bukan disebabkan saya seorang tetapi ia melibatkan seluruh pasukan.

“Kami bermain satu unit untuk menang dan Alhamdulillah kami mengikut perancangan daripada jurulatih akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hadee mengakui kejayaan itu telah memberikan suntikan moral terbaik buat pasukan negara untuk aksi kedua Kumpulan A bertemu Taiwan esok.

“Insya-Allah kemenangan pertama ini akan memberi satu suntikan semangat untuk memburu mata pada perlawanan akan datang,” ujarnya.