Ekoran keputusan tersebut, kemenangan pelumba mereka, Andrea Dovizioso sah menjadi milik mereka dan Ducati juga akan meneruskan penggunaan peranti aerodinamik baharu itu pada perlumbaan GP Argentina hujung minggu ini.

Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna sebelum ini menyebut peranti pada jentera GP19 berfungsi untuk mengurangkan tekanan kepada tayar belakang namun empat pasukan yang membuat aduan tersebut iaitu Aprilia, Suzuki, Honda dan KTM tidak mempercayai dakwaannya itu.

“Berdasarkan pemerhatian dan pendengaran yang dilakukan pada 22 Mac lalu di Mies, Switzerland, Mahkamah MotoGP memutuskan bahawa rayuan yang dilakukan oleh empat pasukan iaitu Aprilia, Suzuki, Honda dan KTM telah ditolak.

“Keputusan perlumbaan tersebut disahkan dan diisytiharkan sebagai lengkap.

“Permintaan untuk mengisytiharkan peranti yang digunakan pasukan Ducati adalah menyalahi undang-undang dan penggunaannya perlu diharamkan dalam perlumbaan akan datang juga telah ditolak,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahkamah MotoGP.

Kini, empat pasukan berkenaan mempunyai lima hari bagi membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Perlumbaan pusingan kedua MotoGP musim ini dijadualkan berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo di Argentina hujung minggu ini. – Agensi