Namanya mungkin kurang dikenali dalam kalangan peminat sukan tanah air sebelum ini, namun aksi tangkas ketika menewaskan pemain berpengalaman Denmark, Hans Kristian Vittinghus membuatkan namanya meniti di bibir rakyat Malaysia.

Memiliki ketinggian 1.85 meter serta bakat semula jadi, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu dilihat sebagai calon tepat mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada masa depan.

Apa tidaknya, pada usia 20 tahun, dia sudah meletakkan dirinya selaku pemain perseorangan lelaki No. 2 negara serta mewakili Malaysia ke Piala Thomas, iaitu kejohanan yang menghimpunkan jaguh-jaguh badminton dunia.

Mungkin standard mereka berdua jauh berbeza, namun Zii Jia memiliki banyak masa untuk mencapai potensi sebenar dirinya memandangkan umur yang masih muda.

Bagaimanapun, Zii Jia enggan terlalu dibuai dengan kata-kata yang mengatakan dia merupakan calon utama menggantikan Chong Wei apabila bekas pemain No. 1 dunia itu menggantung raketnya pada masa depan.

Sebaliknya, pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 itu lebih fokus untuk mematangkan diri serta memperbaiki teknik permainan memandangkan dia mungkin diletakkan sandaran sebagai pemain No. 1 negara.

“Ramai peminat cakap saya mampu ganti Chong Wei tetapi saya tidak mahu terlalu fikirkan perkara itu kerana ia beri tekanan, namun bukan bermakna saya tidak idamkan untuk isi tempat dia.

“Sebenarnya, bukan saya seorang yang mahu gantikan dia tetapi masih ramai pemain yang sedang mengintai peluang. Sesiapa yang memiliki kematangan serta keyakinan boleh mengambil tempat Chong Wei,” katanya kepada Kos­mo! ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sekiranya bersandarkan bakat sahaja, mungkin hasrat Zii Jia untuk menjadi antara pemain terbaik dunia hanya menjadi khayalan semata-mata jika tidak diselitkan dengan kerja keras serta bantuan daripada yang terbaik.

Justeru, kehadiran legenda badminton tanah air, Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki dijangka mampu mengembalikan kegemilangan skuad tersebut, sama se­perti yang dilakukan terhadap Chong Wei sehingga menjadi pemain No.1 dunia.

Zii Jia mengakui sejak kepulangan Misbun ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia dapat me­rasakan ada aura positif selain percaya jurulatihnya itu mampu menjadikannya pemain lebih matang serta yakin.

“Memang kita boleh nampak selepas beliau kembali ke BAM, pencapaian saya semakin meningkat. Apabila berada di bawah kendaliannya, saya lebih yakin untuk jadi seorang pemain lebih matang serta yakin,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia juga bersetuju dengan pendapat bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim (gambar kecil) bahawa dia perlu memenangi seberapa banyak kejuaraan dalam tempoh dua tahun akan datang jika mahu menaikkan kedudukan rankingnya.

“Saya bersetuju dengan apa yang beliau beritahu kerana untuk berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia, saya perlu dapatkan gelaran serta beraksi lebih banyak kejohanan. Saya harap mampu dapatkan beberapa kejua­raan kerana ia penting untuk karier saya,” ujarnya.