Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, buat masa ini pihaknya sedang melakukan rundingan dengan beberapa syarikat bagi memenuhi tuntutan perbelanjaan keseluruhan pasukan.

Menurutnya, KAFA mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk bersama badan induk itu bagi melonjakkan semula nama Kelantan dalam kancah Liga Premier musim depan.

“Sekiranya ada tokoh-tokoh usahawan kelahiran Kelantan yang mahu bersama Kelantan turut dialu-alukan.

“Hal ini bagi memastikan masa depan ‘ubi muda’ yang berbakat besar dalam bola sepak dapat meneruskan karier mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Bibi Ramjani memberitahu, KAFA juga sedang mengintai beberapa pemain berpotensi untuk dibawa masuk bagi memperkasakan pasukan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan Kelantan mampu memberikan saingan untuk kembali beraksi dalam Liga Super nanti.

Musim ini, Kelantan menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot Liga Super bersama Negeri Sembilan.

Kedudukan tersebut menyaksikan Kelantan turun pangkat ke Liga Premier selepas lebih sedekad beraksi pada saingan liga utama Malaysia itu.