Pemain veteran negara itu percaya dia dan rakan-rakan sepasukannya melepaskan peluang keemasan selepas berpeluang cerah untuk meraih pingat emas pertama dalam acara hoki di pentas Sukan Asia sejak ia diperkenalkan pada edisi 1958.

“Saya dan rakan-rakan sepasukan sangat kecewa kerana kami hampir memenangi pingat emas dengan kedudukan 5-2 ketika saingan memasuki suku keempat perlawanan.

“Namun, kami akur dengan kebangkitan luar biasa pasukan Jepun dan terpaksa terima keputusan untuk berada di kedudukan kedua selaku pemenang pingat perak pada Sukan Asia kali ini.

“Secara peribadi, tiada sesiapa yang wajar untuk dipersalahkan kerana kami tewas sebagai satu pasukan. Pujian juga perlu diberikan kepada Jepun kerana mereka beraksi tanpa sebarang tekanan meskipun sudah ketinggalan jauh,” katanya.

Sementara itu, penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin percaya rakan-rakan sepasukannya sudah memberikan aksi 100 peratus tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan pada penghujung perlawanan.

“Kami telah berikan aksi yang terbaik, namun bukan rezeki pasukan untuk tampil selaku juara. Kita perlu jadikan kekalahan ini sebagai pengalaman untuk tampil lebih matang pada kejohanan akan datang,” katanya.

Selain terlepas pingat emas, skuad Malaysian Tigers turut gagal meraih slot automatik Sukan Olimpik 2020 di Tok­yo yang diberikan kepada pemenang pingat emas Sukan Asia.

Ini merupakan kali kedua skuad hoki negara muncul naib juara Sukan Asia selepas edisi 2010 di Guangzhou, China selepas tewas kepada Pakistan.