Ia adalah salah satu daripada dua larian maraton di bawah anjuran Cabaran Duo Lebuh Raya IJM Allianz dengan edisi pertama dinamakan Cabaran Lebuhraya NPE sudah pun berlangsung pada Julai lalu dan berjaya menarik penyertaan seramai 9,000 peserta.

Larian anjuran Besraya (M) Sdn Bhd, New Pantai Expressway Sdn Bhd dan Kumpulan EC Pixels itu juga menawarkan cabaran lebih sukar apabila jarak larian lebih panjang iaitu 13 kilometer (km) dan 26km dalam tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta Berpasukan Campuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, pihaknya sudah sinonim dengan menganjurkan aktiviti larian maraton sejak 2013.
 
“Cabaran Lebuhraya Duo IJM Allianz adalah salah satu daripada lima kejohanan yang kami sertai tahun ini. Persetujuan kami menjadi penaja bersama menguatkan lagi komitmen kami untuk bersama-sama meningkatkan agenda gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan EC Pixels, Eugene Chan menyifatkan pihaknya mahu melakukan kelainan dengan penganjuran larian waktu malam pada edisi kali ini berbanding penganjuran pertama dua tahun lalu.

“Ia membolehkan peserta berpeluang menikmati suasana berlari pada waktu malam di tengah-tengah lebuh raya. Sebagai faktor keselamatan, lebuh raya akan ditutup sepenuhnya sepanjang larian ini,” jelasnya.

Cabaran Lebuh Raya Besraya pada 24 Ogos ini akan bermula jam 9 malam untuk saingan 26km manakala 9.30 malam bagi kategori 13km. - K! ONLINE