Aidil Sharin berkata, kemenangan ke atas Melaka United itu amat penting bagi meniup semula semangat dan moral pasukannya selepas tewas kepada Selangor baru-baru ini, sekali gus mampu menjadi azimat buat mereka bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi hujung bulan ini.

“Syukur kami dapat keputusan seperti yang diinginkan selepas pemain cepat belajar dan bangkit memperbaiki kesilapan pada separuh masa kedua.

“Ia hasil kesungguhan semua pemain selepas jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menaikkan semula semangat pasukan selepas kalah dengan Selangor sebelum ini,” katanya selepas tamat perlawanan itu.

Aidil Sharin turut berpuas hati dengan prestasi pemainnya meskipun prestasi mereka kelihatan longgar dan sukar untuk menjaringkan gol pada babak pertama.

“Alhamdulillah, pemain senior terus beri motivasi kepada pemain muda dan tidak beri tekanan kepada mereka untuk mengatasi kesilapan dan memenangi perlawanan tersebut,” katanya.

Dia berkata, persiapan juga akan dilakukan secukupnya sebelum pertemuan dengan JDT termasuk memperkemaskan pasukan.

Sementara itu, pengendali Me­laka United, Zainal Abidin Hassan berkata, dua kesilapan pasukan itu telah memberi peluang Helang Merah menjaringkan gol, sekali gus meranapkan impian Melaka memperoleh tiga mata di Alor Setar.

Keputusan itu sedikit mengecewakan Zainal memandangkan Melaka terlebih dahulu mendahului jaringan dan berharap pemain tidak melakukan kesilapan sama ketika bertemu Perak nanti.

“Walaupun tiga pemain tidak dapat diturunkan, pemain masih menunjukkan permainan yang baik cuma dengan kesilapan itu kami tewas dan ia tak patut berlaku tambahan lagi bermain di tempat lawan,” katanya. – Bernama