Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Aziz berkata, pemain-pemain Kedah perlu memastikan mereka tidak berputih mata dalam mengutip mata penuh pada perlawanan itu sekiranya mahu menghidupkan peluang untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun katanya, beliau mengakui bukan tugas mudah kepada pemain-pemain Kedah untuk menundukkan skuad MISC-MIFA memandangkan pasukan itu berjaya mengecewakan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 dan Kelantan 2-0 sebelum ini.

“Berbekalkan hanya satu mata setakat ini, kita tiada pilihan lain kecuali mengutip tiga mata dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Jika ini berhasil, kita masih berpeluang untuk mara pada saingan dalam Kumpulan C,” katanya.

Azzmi berkata, beliau mengharapkan jentera serangan dapat mencipta lebih banyak peluang untuk mendapatkan gol penting pada perlawanan itu.

“Pemain harus bangkit mencari formula kemenangan pada aksi kali ini walaupun berdepan situasi dan cabaran getir selepas sekadar mengumpul satu mata dalam dua perlawanan awal,” katanya.

Azzmi juga memberitahu, motivasi dan semangat pemain masih positif dan mereka sedar peluang masih ada dan belum tertutup.

“Mereka tekad mahu menghidupkan peluang kerana kebanyakan mereka sudah memiliki pengalaman selama tiga tahun beraksi di pentas final Piala Malaysia.

“Atas faktor ini mereka masih mahu mengulangi kejayaan yang sama pada musim ini,” katanya.