Juara Grand Slam tiga kali itu sering dibelenggu kecederaan sejak kebelaka­ngan ini dan terbaharu dia turut bergelut untuk pulih daripada kecederaan pinggulnya yang dialami musim lepas.

Murray bagaimanapun mengambil keputusan untuk menyertai Terbuka Australia dan kelihatan sebak ketika bercakap dengan pemberita dalam satu sidang akhbar semalam.

“Saya tidak pasti sama ada saya mampu mengharungi kesakitan ini di atas gelanggang dalam empat atau lima bulan lagi.

“Saya mahu beraksi sehingga di Wimbledon dan kemudian bersara, tetapi saya tidak tahu sama ada mampu melakukannya atau tidak,” jelas Murray.

Bagaimanapun, Murray, 31, menjelaskan dia masih tetap mahu beraksi di pusingan pertama Terbuka Australia menentang pemain pilihan ke-22 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut minggu depan.

Bekas pemain No. 1 dunia kelahiran Scotland itu telah menjalani pembedahan di pinggul kanan­nya Januari tahun lalu dan telah bermain dalam 14 perlawanan sejak kembali semula ke gelanggang pada Jun tahun lepas.

“Saya tidak rasa sihat dan sudah lama bergelut dengan kecederaan ini. Saya telah bermain dalam kesa­kitan sejak kira-kira 20 bulan dan telah melakukan apa saja bagi memulihkan semula pinggul saya.

“Namun, nampaknya semua usaha saya itu tidak berjaya,” katanya lagi. – Agensi