Turun menentang rakan senegara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen di Stadium Juara, Bukit Kiara, mereka tidak berdepan masalah pada set pertama apabila mencatat kemenangan mudah.

Bagaimanapun, V Shem-Wee Kiong sedikit cemas apabila ketinggalan 9-15 pada set kedua selepas melakukan beberapa kesilapan mudah.

Wee Kiong mengakui lega apabila mampu bangkit mengejar mata demi mata sebelum memastikan tempat pada perlawanan akhir menerusi kemenangan 23-21.

“Sebenarnya, perlawanan hari ini lebih baik berbanding semalam kerana kami mampu bermain selesa. Kami lebih cepat keluarkan permainan sendiri.

“Walaupun ketinggalan agak jauh pada set kedua tetapi kami bertenang dan atur kembali permainan. Amat melegakan apabila berjaya bangkit dengan cepat,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, V Shem menegaskan, gandingan Kah Ming-Juan Shen memberikan tentangan sengit kepada mereka selain mengakui rakan senegara itu hanya kurang dari segi pengalaman.

“Standard kami dengan beregu lain tidak banyak beza, mungkin kami memiliki pengalaman. Saya harap mereka mampu meraih lebih banyak pengalaman selepas ini.

“Ini merupakan satu perkemba­ngan baik untuk negara kerana kita juga sedang mempersiapkan pasukan terbaik ke Piala Thomas nanti,” ujar V Shem.