Terdahulu, Marceeta gagal dalam semua angkatan acara snatch yang menyaksikan dia berada di kedudukan terbawah.

Bagaimanapun, atas dorongan jurulatih serta motivasi yang tinggi dalam dirinya, atlet berusia 20 tahun itu secara tiba-tiba meraih emas kedua dalam penyertaannya pada temasya ber­kenaan sejak 2012 selain turut memperbaharui rekod temasya dengan angkatan seberat 97kg.

“Perasaan gugup dan terlalu memberi tekanan terhadap diri sendiri menyebabkan saya gagal melakukan sebarang angkatan dalam acara snatch. Sedih tetapi saya tekad untuk tebus kegagalan itu dalam acara clean & jerk.

“Atas dorongan jurulatih saya berjaya bangkit, bukan sahaja meraih emas tetapi mencipta rekod baharu dalam temasya ini.

“Selepas ini sasaran saya adalah Sukan Komanwel 2022,” kata atlet pelapis kebangsaan itu yang turut membuat penampilan pada Sukan Komanwel di Gold Coast April lalu.

Marceeta meleburkan rekod Sukma yang dicatatkan oleh atlet Kelantan, Nur Fariesha Irwana Md. Supian pada Sukma 2014 di Perlis dengan angkatan seberat 96kg.

Pada Sukma 2016 di Sarawak, Marceeta berjaya meraih satu emas dan satu perak dalam acara sama.

Pada acara clean & jerk, pi­ngat perak menjadi milik atlet Sarawak, Marthini Chan de­ngan angkatan 88kg, manakala Siti Barirah Azhari dari Kedah melengkapkan kedudukan podium ketiga (87kg).

Dalam pada itu, bagi acara snatch, Siti Barirah yang baru berusia 14 tahun meraih pi­ngat emas setelah berjaya me­lakukan angkatan seberat 74kg, manakala perak menjadi milik atlet Sarawak, Marthini Chan (73kg) dan Nurul Anis Abdullah dari Perlis merangkul gangsa (70kg).