Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya kembali di landasan kemenangan susulan kekalahan mengecewakan 0-2 pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Taiwan di Taipei City minggu lalu.

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe (gambar kecil) membariskan kesebelasan terbaik apabila meletakkan gandingan pemain muda dan berpengalaman seperti Akhyar Rasyid, Khairul Fahmi Che Mat, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor yang diketuai oleh Zaquan Adha Abd. Radzak untuk mengharungi perlawanan tersebut.

Pada separuh masa pertama, skuad negara berdepan tekanan hebat daripada pasukan Kemboja yang mengharungi perlawanan kompetitif pertama di bawah sentuhan pengurus baharu pasukan dari Jepun, Keisuke Honda.

Mereka meraih peluang seawal minit keempat tetapi sepakan percuma yang dilakukan oleh Keo Sokpheng sekadar terkena palang gol negara.

Namun, kubu skuad negara akhirnya dibolosi oleh pasukan yang berada di ranking ke-166 dunia itu selepas rembatan kencang Soeuy Visal bijak memperdayakan barisan pertahanan negara pada minit ke-18.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe merombak kesebelasan utama dengan memasukkan penyerang, Shahrel Fikri Md. Fauzi serta Nik Akif Syahiran Nik Mat dan percaturan itu dilihat berbaloi apabila skuad negara mula menguasai sebahagian besar perlawanan.

Gol penyamaan Malaysia hasil tandukan Shahrul pada minit ke-62 berjaya memastikan lebih 40,000 penyokong tuan rumah di Stadium Nasional tergamam.

Rentak skuad negara terus bergaya apabila pemain pertahanan muda, Syazwan Andik Ishak bijak menyudahkan peluang hasil hantaran Shahrel untuk menambah tekanan pasukan tuan rumah pada minit ke-74.

Shahrel yang kini mewakili pasukan Liga Thailand, Nakhon Ratchasima melebarkan kelebihan dengan meledak gol ketiga buat skuad negara hasil gerakan cantik pada masa kecederaan.

Kejayaan malam tadi merupakan kemenangan ketiga buat skuad negara tahun ini selepas menewaskan Fiji dan Bhutan sebelum ini.

Mereka dijadualkan bertemu dengan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada aksi persahabatan antarabangsa bulan depan sebagai persediaan mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung November nanti.