Keputusan itu dibuat selepas SIC diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak minggu lalu.

Antara langkah awal yang akan dilakukan ialah cuba mendekatkan golo­ngan belia yang terdiri daripada peminat motosikal, kelab kereta dan ‘mat motor’ kepada sukan permotoran.

“Sebelum ini SIC di­letakkan di bawah Kementerian Kewangan, namun ia menjadi tanggungjawab KBS sejak minggu lalu.

“Sasaran kami bukan sahaja melahirkan pelumba tetapi membantu mereka untuk melibatkan diri dalam pelbagai kerjaya seperti jurutera permotoran serta mekanik untuk pasukan,” katanya kepada Kos­mo! selepas sidang akhbar pengumuman pasukan MotoGP Malaysia di Litar Silverstone kelmarin.

Syed Saddiq berkata, tujuan utama SIC dile­takkan di bawah penyeliaan KBS adalah untuk memudahkan kementerian tersebut mendekati golongan belia khususnya golongan ‘mat motor’.

“Kami mahu mendekati golo­ngan ini bagi mencari penyelesai­an bersama selain mengiktiraf sukan permotoran negara sebagai satu aktiviti yang penting.

“Saya mahu melihat SIC dijadikan sebagai hab sukan permotoran di rantau ini. Ia akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan. Kami akan me­nganjurkan pelbagai perlumbaan motosikal dan kereta se­perti perlumbaan drag, F2, F3 dan F4.

“Dengan cara ini, ia dapat mendekatkan golongan sasar terutamanya belia bagi membangunkan sukan permotoran di negara ini,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama penggiat sukan permotoran termasuk kelab-kelab kereta bulan depan.

Hasil pertemuan itu diharap dapat menemui ‘titik pertemuan’ untuk merangka masa depan sukan permotoran di negara ini.

Pada Jumaat lalu, SIC, Pe­tronas dan Yamaha melakar sejarah baharu dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila ketiga-tiga entiti tersebut bergabung untuk membentuk sebuah pasukan baharu dan yang pertama negara dalam kelas MotoGP bermula pada kempen musim 2019.