England terpaksa akur bermain pada penentuan tempat ketiga dan keempat selepas tewas 1-2 kepada Croatia pada aksi separuh akhir di Stadium Luzhniki awal pagi semalam.

Penyerang Tottenham Hotspur itu menegaskan, skuad The Three Lions tidak sepatutnya berasa kecewa, sebaliknya mampu mendabik dada kerana berjaya melangkah ke separuh akhir memandangkan mereka tidak diletakkan apa-apa sasaran sebelum kejohanan bermula.

“Tiada apa yang perlu disesali kerana kami sudah memberikan segala-galanya pada perlawanan ini. Kami tewas dengan jurang yang kecil sahaja.

“Kami boleh berbangga dengan kejayaan ini dan akan cuba sebaik mungkin untuk menamatkan Piala Dunia 2018 di tempat ketiga. Apa yang penting kami sudah berjaya mengembalikan semula maruah England,” katanya.

England yang memperoleh gol menerusi sepakan percuma Kieran Trippier pada minit kelima, terpaksa berputih mata ke pentas final disebabkan dua jaringan Croatia menerusi Ivan Perisic (m-68) dan Mario Mandzukic (m-109).

Kekalahan itu menyaksikan England gagal mengulangi kejayaan menjulang Piala Dunia 1966, namun setidak-tidaknya berjaya menyamai pencapaian mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak Piala Dunia 1990 di Itali.

Kane yang kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan enam gol, berpeluang merangkul anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2018 jika menja­ringkan gol pada penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu Belgium di Stadium Saint Petersburg, Sabtu ini. 
– Agensi