Ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit berkata, kajian itu perlu berikutan kegagalan beregu negara mencatat kemenangan dalam set penentuan ketika menentang pasangan Denmark di peringkat kumpulan dan suku akhir semasa berdepan Indonesia. 

"Kita perlu mengatasi isu ini berdasarkan apa yang berlaku terhadap pemain, apa yang mereka fikirkan semasa keadaan itu (set penentuan). Kenapa mereka tidak dapat mengekalkan momentum pada set penentuan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas pemain beregu negara berkata demikian susulan kekalahan pasukan Piala Thomas negara 1-3 di tangan Indonesia dalam saingan suku akhir, semalam.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasangan negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Aaron Chia-Teo Ee Yi tewas kepada pasangan Indonesia dalam aksi yang berlanjutan sehingga tiga set.

V Shem-Wee Kiong kalah kepada pasangan Marcus Gideon-Kevin Sukomuljo 19-21, 22-20 dan 13-21, manakala Aaron-Chia tunduk kepada Alfian Fajar-Muhammad Rian Ardianto 18-21, 21-10 dan 9-21.

Kegagalan beregu negara mencipta kemenangan dalam set penentuan turut berlaku semasa perlawanan penting peringkat kumpulan menentang Denmark beberapa hari lepas, sehingga membawa kepada kekalahan mereka.

Kedua-dua pasangan beregu negara tewas selepas beregu Denmark mengheret perlawanan sehingga tiga set.

Sementara itu, Soon Kit juga ditanya sama ada beliau akan memisahkan pasangan sedia ada dan menggandingkan mereka dengan pasangan baharu berikutan kegagalan beregu negara pada saingan Piala Thomas ini.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan dalam kalangan jurulatih beregu negara serta mendapatkan pandangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Katanya penekanan juga akan diberikan terhadap usaha mencungkil bakat-bakat muda terutamanya yang berusia di bawah 21 tahun. - Bernama