Pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, bekas pasangan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tersebut menang straight set 21-18, 24-22 dalam tempoh 33 minit.

Menurut Juan Shen, mereka bernasib baik kerana dapat menyertai kejohanan berstatus Siri Jelajah Dunia Super 750 itu kelmarin selepas nama mereka disenaraikan bagi menggantikan pasangan India yang menarik diri ekoran kecederaan.

“Kami sudah tahu ada pasangan India akan menarik diri kerana cedera pada Terbuka India minggu lalu. Jadi, dalam tempoh seminggu kami sempat menjalani latihan persediaan.

“Sudah tentu kami gembira kerana menang lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan beregu No. 11 dunia. Secara peri­badi saya rasakan faktor kemenangan pada hari ini (semalam) berpunca daripada taktikal yang kami gunakan selain menerima sokongan padu pada daripada para penyokong,“ kata Juan Shen ketika ditemui Kosmo! selepas tamat perlawanan semalam.

Sebagai rekod, pasangan tersebut mula bergelar beregu profesional pada Ogos 2018 dan berjaya meraih gelaran pertama pada saingan Badminton Siri Antarabangsa Laos Februari lalu.

Pasangan No. 43 dunia itu dijadualkan menentang pilihan keenam, Mohamad Ahsan-Hendrawan Setiawan dari Indonesia di pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, Kah Ming mengakui mereka tidak menjangka dapat melepasi pusingan pertama ini selepas mengetahui bakal bertembung dengan pasangan China berkenaan.

“Melihat kekuatan pemain China itu, saya fikir perlawanan adalah seimbang, namun tidak sangka kami boleh menang dengan straight set,” jelasnya.