Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jika ada pemain berdepan masalah dengan gaji, maka pemain terbabit boleh datang sendiri ke pejabat KAFA dan bertemu secara bersemuka bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Pemain patut datang ber­uru­san dengan KAFA dan bukan­nya menggunakan media, kecuali mereka sengaja hendak mencetuskan persepsi yang tidak bagus kepada majikan.

“Sebagai pemain, mereka perlu menghormati kontrak kerana ma­sih mempunyai majikan,” katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Kelmarin sebuah portal berita melaporkan dua bekas tonggak utama Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan Nor Farhan Muhammad menafikan khabar angin bahawa mereka mahu mengemu­kakan saman terhadap KAFA berhubung isu tuntutan gaji.

Bibi Ramjani memberitahu, adalah tidak wajar meletakkan kesalahan itu kepada KA­FA semata-mata, sebaliknya pemain per­lu berjuang demi pasukan dan penyo­kong.

“Cuba tanya pada diri pemain terbabit, adakah mereka bermain untuk gaji semata-mata sedang­kan mereka tahu pengorbanan yang telah dilakukan oleh KAFA.

“Saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pemain yang masih belum mene­rima gaji,” ujarnya.

Beliau turut mempelawa mana-mana pemain TRW supaya bertandang ke pejabat badan induk itu untuk mendapatkan tuntutan mereka.

Sebelum ini, KAFA telah melunaskan tuntutan hutang membabitkan dua bekas pemain import musim 2016 iaitu Jonathan Lucca dan Dramane Troare serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic berjumlah RM2.6 juta.

Selain itu, Kelantan turut di­­­arahkan membayar tuntutan tunggakan gaji sebanyak RM100,000 oleh Brendan Gan Sen Ling dan Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa (RM55,000)

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramja­ni mendedahkan wujudnya satu gerakan untuk menuntut hutang lama melibatkan KAFA.

Katanya, tuntutan itu seolah-olah mahu memberikan tekanan kepada KAFA untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan Ke­lantan bersaing pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Ada yang datang kepada sa­ya dan menunjukkan mesej (Whats­App) individu yang cuba menghasut pemain untuk menuntut hutang. Jadi, rasanya tidak perlu wujud­kan benda seperti ini sebab saya ingin orang tampil untuk membantu menyelesaikan kemelut KAFA dan bukan membantu menjadi parasit,” katanya.