Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan tersebut dalam masa terdekat kepada FMLLP.

“Jumlah denda itu sangat besar kepada kami terutamanya ketika keadaan kewangan persa­tuan tidak stabil berikutan KAFA tidak dibantu mana-mana pihak berkaitan kewangan bagi pengurusan pasukan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan Kelantan antara empat pasukan Liga Super yang dikenakan denda RM1.5 juta selepas gagal melengkapkan pendaftaran bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selain Kelantan, tiga lagi pasukan Liga Super yang dikenakan hukuman sama ialah Kuala Lumpur, Selangor dan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), manakala enam pasukan Liga Premier, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MISC-MIFA dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), masing-masing perlu mem­bayar denda RM500,000 atas ke­salahan sama.

Bibi Ramjani berkata, pihaknya juga akan meminta pencerahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP berkaitan dokumen yang perlu disediakan bagi proses rayuan itu.

“Kewangan kami hanya bergantung kepada pihak penaja musim ini dan ia diperoleh dalam jumlah yang kecil,” katanya. – Bernama