Pada aksi semalam, pelumba berusia 24 tahun itu bergelar juara selepas meraih 35 mata secara keseluruhan.

Tempat kedua diraih pelumba Hong Kong, Xiaojuan Diao yang mengutip 25 mata manakala Ke Xin Zeng dari Taiwan raih gangsa dengan 21 mata secara keseluruhan.

Menurut pelumba kelahiran Perlis tersebut, dia sama sekali tidak menyangka bahawa Velodrom Nilai memberi tuah kepada dirinya walaupun dia sekadar menjalani latihan selama sebulan.

“Saya memang meletakkan sasaran untuk meraih pi­ngat tetapi saya tidak sangka dapat meraih emas sulung peribadi saya hari ini (semalam). Malah, saya hanya berlatih selama sebulan untuk ke kejohanan ini kerana sibuk dengan tugas sebagai seorang anggota polis.

“Kejayaan ini juga me­nebus kekecewaan saya selepas gagal meraih emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Mungkin ini permulaan baik untuk saya terus mempamerkan aksi cemerlang tahun ini,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

Sebagai rekod, pingat tersebut merupakan emas sulung yang diraih Jupha sejak 2014. Ia juga melengkapkan koleksi pingat buat pelumba tersebut selepas turut merangkul pe­rak bagi acara points race serta gangsa (scratch race) pada ACC 2016 di Izu, Jepun.

Mengulas lanjut, Jupha berkata, kemenangan ini te­lah membuktikan bahawa dia layak untuk mewakili negara ke temasya Sukan Komanwel tahun ini.