Juara dunia itu dinasihat oleh Pengarah Bahagian Perubatan Sukan Institut Sukan Negara (ISN) Dr Arshad Puji untuk berehat daripada menyertai sebarang kejohanan dan juga sesi latihan untuk tempoh antara enam dan sembilan bulan. 

"Kali pertama lutut saya bengkak dua minggu lepas, saya segera jumpa doktor di ISN dan menjalani pemulihan, selepas itu pulih seperti sediakala namun ia bengkak buat kali kedua.

"Jadi doktor menasihatkan saya berehat daripada sebarang aktiviti. Memang agak kecewa dan sedih kena lupakan aksi pada Sukan Asia," katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Nasional di sini hari ini. 

Jun Hoong yang mengalami kecederaan itu sejak dua minggu lepas, dijadual bersaing dalam acara 10m platform individu dan 10m platform seirama. 

Sebelum ini, kontinjen Malaysia kehilangan prospek emas selepas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei disahkan tidak akan beraksi pada Sukan Asia 2018 ekoran masalah pernafasan.

Tempat Jun Hoong bagi acara 10m platform individu akan digantikan Nur Dhabitah Sabri manakala Leong Mun Yee pula akan bergandingan dengan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama. 

"Buat masa sekarang saya kena fokus dan ikut proses pemulihan yang disediakan ISN dengan sebaik mungkin bagi memastikan prestasi saya untuk masa akan datang. 

"Bila sudah pulih sepenuhnya baru saya akan fikir mengenai latihan dan kejohanan besar seperti Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Saya juga bernasib baik kerana dalam tempoh enam hingga sembilan bulan itu, saya tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan besar," katanya. 

Sementara itu, Dr Arshad ketika mengulas lanjut mengenai kecederaan Jun Hoong, berkata penilaian perubatan akan dilakukan ke atas juara dunia itu untuk mendapatkan keputusan lebih tepat mengenai kecederaannya. 

Beliau berkata tempoh sebenar diperlukan Jun Hoong untuk pulih sepenuhnya juga boleh diperoleh melalui penilaian perubatan tersebut. 

"Kalau ikutkan, 10 tahun lepas Jun Hoong pernah membuat pembedahan lutut namun ia bukan kecederaan berulang cuma ia menyumbang kepada kecederaannya sekarang," katanya. 

Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Jun Hoong yang bergandingan dengan Ng Yan Yee meraih satu pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama dan satu pingat gangsa acara 3m papan anjal individu. - Bernama