JUN HOONG (dua dari kiri) selepas sidang akhbar penarikan diri daripada Sukan Asia akibat kecederaan lutut di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Azim (kanan).

Penarikan diri tersebut adalah disebabkan kecederaan pada lutut kiri yang dialami penerjun berusia 28 tahun itu pada 10 tahun lepas kembali menghantui­nya sejak dua minggu lalu.

Jun Hoong dipantau rapi Pe­ngarah Bahagian Perubatan Ins­titusi Sukan Negara, Dr. Arshad Puji yang menasihatinya untuk memberikan tumpuan pada pemulihan selama enam hingga sembilan bulan.

“Saya agak sedih dan kecewa apabila perlu menarik diri atas sebab ini. Tapi ini semua demi kebaikan serta kelangsungan karier saya. Selain Sukan Asia saya tiada kejohanan besar.

“Dua minggu lepas, lutut saya bengkak sikit dan saya pergi berjumpa doktor. Selepas itu, saya lakukan pemulihan dengan harapan dapat pulih sebelum Sukan Asia.

“Namun laporan yang keluar hari ini (semalam) mengesahkan keseriusan kecederaan saya dan dinasihatkan untuk tidak bertanding. Setakat ini, saya tak tahu perancangan seterusnya selepas Sukan Asia,” ujarnya.

Turut hadir ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Ketiadaan permata sukan terjun tersebut menjejaskan sasaran emas negara terutama de­ngan cabaran besar dari China yang sudah tentu membariskan penerjun-penerjun Olimpik.

Olahragawati Kebangsaan 2017 itu bakal diganti oleh Leong Mun Yee bagi acara 10 meter (m) platform seirama wanita bersama Pandelela Rinong, manakala Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 10m platform individu.

Terdahulu, jaguh perseora­ngan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut mengesahkan penarikan diri dari Sukan Asia disebabkan masalah kesihatan sekali gus melenyapkan satu lagi prospek emas negara pada edisi kali ini.