Pada aksi suku akhir itu, naib juara remaja dunia berkenaan mengejutkan pilihan keempat dari Hong Kong, Hu Yun menerusi aksi tiga set dengan kemenangan 21-15, 20-22, 21-7 dalam tempoh hampir sejam.

“Secara jujur, saya sangat gembira serta puas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan hari ini (semalam). Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila berjaya melangkah ke separuh akhir,” kata Jun Hao ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kekuatan fizikal serta mental yang dimiliki Jun Hao nyata memberi kelebihan kepadanya, lebih-lebih lagi pada set penentuan sebelum menyingkirkan pemain yang berada pada ranking ke-35 dunia itu.

“Pada aksi rubber set, tidak ada perkara lain yang bermain di fikiran saya kecuali cuba menahan asakan yang dilakukan Hu Yun sehingga dia penat dan mengalah.

“Saya fikir mungkin saya memiliki kelebihan dari segi mental serta fizikal. Satu perlawanan yang cukup sukar, tetapi tuah nyata memihak kepada saya,” tambahnya.

Pada aksi separuh akhir hari ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bakal me­lakukan perhitungan dengan pemain tuan rumah, Kantaphon Wangcharoen.

Meskipun sedar akan berdepan tekanan beraksi di hadapan penyokong lawan, namun Jun Hao yang juga juara remaja Asia menegaskan dia sedia menampilkan aksi terbaik untuk melangkah ke pentas final.

“Alang-alang sudah melangkah ke separuh akhir, kini sasaran saya adalah untuk memastikan tempat di pentas final. Saya akan cuba berikan segala-galanya pada perlawanan esok (hari ini).

“Saya tahu bukan mudah beraksi di hadapan penyokong tuan rumah kerana ia memberi tekanan, tetapi saya tidak mahu fikirkan perkara itu kerana fokus saya sekarang adalah final,” ujarnya.

Turut mengiringi Jun Hao ke separuh akhir hari ini adalah dua beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei serta beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.