Kekalahan mengejut 1-2 kepada Malaysian Tigers pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak kelmarin membuatkan Argentina kini mula memilih untuk merendah diri.

Ketua jurulatih Argentina, Rolando Rivero juga akur dengan kekalahan anak-anak buahnya yang mempunyai kedudukan ranking dunia jauh lebih tinggi iaitu No. 2 dunia berbanding skuad negara di tangga ke-12 dunia.

“Malaysia bermain dengan sangat baik dari segi pertahanan dan me­lakukan sera­ngan balas ke atas kami sehingga terhasil dua gol (dalam tempoh lapan minit).

“Kami diberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan. Kekalahan ini membuktikan kami perlu sentiasa menghormati semua pasukan walaupun kedudukan ranking mereka lebih rendah,” katanya sejurus tewas 1-2 kepada skuad negara kelmarin.

Sebagai rekod, dua gol Malaysian Tigers dijaringkan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abd. Jalil dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan, manakala Diego Paz meledak gol saguhati buat Argentina.

Faktor utama kekalahan Argentina disebabkan kegagalan pakar flick dunia, Gonzalo Peillat menyempurnakan tujuh pukulan sudut penalti selain satu penalti stroke diambil Juan Gilardi ditepis penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman.

Situasi itu telah ‘membuka mata’ Rivero untuk menggunakan taktikal berbeza kerana tidak boleh terlalu mengharapkan Peillat untuk meraih kemenangan buat Argentina pada Piala Dunia 2018 bermula November ini.

Skuad Los Leones gagal kembali ke landasan kemenangan apabila terpaksa berpuas hati sekadar seri 1-1 dengan pasukan ke-7 dunia, England semalam.